Thursday, July 15, 2010

KEIKHLASAN SEBUAH TANGGUNGJAWAB


Apabila menyentuh soal tanggungjawab, ramai di antara kita yang merasakannya satu bebanan yang cukup berat untuk dipikul. Namun ada juga yang berasa resah jika tidak diberikan tanggungjawab kerana beranggapan dirinya tidak diperlukan atau tidak memainkan peranan dalam sesuatu perkara.

Soal tanggungjawab tidak mengira umur sama ada kita masih muda, tua, abang, adik, pekerja, majikan, kawan atau musuh, masing-masing memikul tanggungjawab yang tersendiri. Tanggungjawab tidak semestinya digariskan pada sehelai kertas yang perlu diikuti tetapi perlu juga lahir daripada diri kita sendiri. Memikul tanggungjawab seumpama melaksanakan amanah yang telah diberikan kepada kita dan perlu dilakukan sebaik mungkin.

Seorang abang perlu menghantar adiknya ke sekolah, meskipun hanya di seberang jalan, namun itu tanggungjawabnya. Seorang ibu membasuh pakaian suami dan keluarganya juga tanggungjawab. Bapa mencari wang untuk menyekolahkan anak-anaknya juga tanggungjawab yang biasa kita lihat, bagaimana pula yang kita tidak nampak namun sebenarnya tanggungjawab kita? Itu yang menjadi persoalan.

Bohong kalau hendak dikatakan diri kita ini benar-benar insan yang bertanggungjawab. Ada sesetengah perkara yang kita pandang remeh kerana merasakannya bukan tanggungjawab kita.misalnya mengutip sampah yang kita nampak di perhentian bas atau menggunakan tandas awam sebaik-baiknya. Berapa ramai di antara kita yang sanggup mengutip sampah jika tidak disuruh atau mungkin menggunakan tisu tandas hanya yang perlu sahaja?

“ Bukan sampah aku? “ atau “Aku tak buat” itu ayat yang biasa kita dengar dan juga kita sendiri kadangkala beralasan yang sama. Semua untuk menampakkan kita ini hendak mengelak daripada melaksanakan tanggungjawab, walhal hakikatnya itulah yang berlaku.

Cuba kita fikirkan jika kita semua bertanggungjawab, bukankah keadaan akan lebih baik. Baik untuk diri kita, baik untuk diri keluarga, insan yang kita kasihi dan orang lain. Sebagai contoh, kita bertanggungjawab menjaga kebersihan alam sekitar. Jika kita memainkan peranan menjaga kebersihan, mungkin kita tidak akan mendengar lagi kes-kes pencemaran, keracunan makanan dan sebagainya. Meskipun sekecil-kecil peranan yang kita pikul, mampu membuat perubahan besar jika semua melaksanakan perkara yang sama.

Ada masanya ibu dan ayah anda ke luar bandar untuk urusan kerja dan meminta anda menjaga keselamatan rumah. Itu tanggungjawab yang perlu anda pikul dan laksanankan, bukannya keluar atau mengajak rakan-rakan membuat parti di rumah. Perbuatan anda itu bukan sahaja mengecewakan ibu bapa anda malah boleh mengundang perkara-perkara yang tidak baik berlaku.

Jangan mengharapkan pujian atau balasan apabila anda melaksanakan tanggungjawab kerana ia mungkin tidak akan berlaku. Laksanakan tanggungjawab seikhlas hati, baru anda dapat melakukan semua perkara dengan mudah tanpa mengharapkan balasan.

Tidak semua perkara boleh berlaku sekelip mata, namun jika kita ‘mendayung sampan perlahan-perlahan, kita tetap sampai ke muara’. Jika kita memikul tanggungjawab kita sedikit demi sedikit sekali pun, kita tetap membuat perubahan akhirnya. Ingatlah kehidupan sentiasa mengajar kita…………


No comments:

Post a Comment